Komunikasi Dalam Tradisi Melayu

Posted by

|Pengenalan|
Dalam setiap kehidupan manusia, perhubungan memainkan peranan penting mempermudahkan manusia berinteraksi sesama sendiri. Dalam konteks perhubungan, istilah komunikasi merupakan ungkapan yang tepat dalam menentukan bentuk perhubungan tersebut. Sejak berabad-abad dahulu, manusia berhubung di antara satu dengan lain menggunakan perantaraaan komunikasi. Manusia memang mengetahui kepentingan komunikasi sesama manusia. Kepentingan komunikasi telah menjadi wadah menggerakkan perhubungan masyarakat sehingga masyarakat manusia hidup maju, dinamik dan berdaya-saing.

Masyarakat manusia berkomunikasi untuk mencapai hasrat masing-masing dalam kehidupan mereka sehingga terbentuk komunikasi tradisi sesuatu kaum. Sesuatu kaum pula mempunyai kod-kod bahasa tertentu yang digunakan dalam komunikasi mereka. Pada asalnya bahasa adalah satu proses komunikasi yang berakar-umbi sejak manusia lahir sehingga dapat bertutur dengan lancar. Dalam hubungan ini, pertuturan yang menggunakan bahasa yang difahami oleh orang lain merupakan satu proses komunikasi. Manusia memahami sesuatu bahasa mengikut bangsa mereka dan proses komunikasi tersebut dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan. Namun begitu, setiap kaum mempunyai kod-kod bahasa tertentu yang tidak diketahui oleh kaum yang lain. Walau bagaimanapun, kaum-kaum tersebut masih dapat berinteraksi di antara satu dengan lain jika mereka mempelajari kod-kod bahasa kaum yang lain. Menurut Beryl William, setiap manusia ada repertoir skil komunikasi untuk berinteraksi dengan orang lain. Skil tersebut boleh dipelajari dan dipertingkatkan sehingga berkesan.

Dalam kehidupan manusia seharian mereka berkomunikasi mengikut tradisi sesuatu kaum berlandaskan bahasa masing-masing. Lantaran, lahirlah pelbagai tradisi komunikasi manusia sebagai perhubungan mereka. Kedapatan banyak bahasa sesuatu bangsa itu menjadi bahasa kebangsaan dalam negara mereka. Banyak juga didapati bahasa-bahasa dalam tradisi komunikasi manusia sesuatu kaum itu lenyap sedikit demi sedikit sebagaimana bahasa sanskrit. Bahasa manusia dan dialeknya berlaku perubahan yang mana pengguna bahasa tersebut terpengaruh dengan bahasa mengikut peredaran zaman.

Nenek moyang masyarakat Melayu banyak meninggalkan khazanah tradisi komunikasi yang tidak diketahui oleh generasi kini. Sebahagian tradisi komunikasi tersebut terpinggir apabila generasi tua meninggal dunia dan tidak ada generasi pelapis. Khazanah komunikasi tradisi tersebut termasuklah amalan sapaan, tatacara menyampaikan maklumat, jemputan ke majlis kenduri-kendara, dan sebagainya. Komunikasi dalam tradisi Melayu lebih menekankan pertuturan bersemuka (interpersonal communication), yakni berkomunikasi secara dua hala. Komunikasi berbentuk dua hala ini cepat mendapat maklumbalas dan merupakan kaedah komunikasi yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu mesej.

Bertertib dan beradab dalam menjalinkan perhubungan di antara satu dengan lain telah menjadi pegangan masyarakat Melayu sejak dahulu lagi. Kedatangan agama Islam memberikan tambahan sebagai menguatkan lagi adat resam orang Melayu kerana agama Islam menggalakkan umatnya hidup dalam keadaan berhemah tinggi serta menghormati manusia lain tidak kira darjat dan keturunan. Ajaran daripada agama Islam dapat mengukuhkan lagi kesopanan masyarakat Melayu apabila mereka berkomunikasi. Masyarakat Melayu sehingga kertas kerja ini dihasilkan masih memegang sebahagian daripada adat seperti mana yang diungkapkan “biar mati anak, jangan mati adat”. Pengajaran daripada sopan-santun yang menjadi amalan nenek-moyang masyarakat Melayu tradisional dapat dilihat sebagaimana digambarkan melalui cerita-cerita, riwayat-riwayat dan hikayat-hikayat dahulukala. Dalam Hikayat Hang Tuah, banyak digambarkan kesopanan hulubalang Melayu dalam menjalani kehidupan mereka.

Ketaatan masyarakat Melayu di zaman silam terhadap Sultan yang memerintah dapat menggambarkan keluhuran keperibadian mereka sebagaimana ungkapan kesetiaan kepada Raja yang memerintah seperti “...apatah salahnya Duli Yang Di Pertuan Inderapura ini hendak berhambakan sahaya? Tetapi si Tuah tiada mau bertuan dua tiga lain daripada anak cucu raja di Bukit Seguntang”. Pengucapan kata-kata daripada Laksamana Hang Tuah jelas menggambarkan hulubalang Melayu di zaman silam amat setia kepada pemerintah. Hal ini berlaku kemungkinan keperibadian orang-orang Melayu di masa itu kuat berpegang pada ungkapan Raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Ungkapan kalimat tersebut menunjukkan bangsa Melayu di zaman silam hidup bertatacara dan beradat dalam tradisi berkomunikasi. Kehidupan beradat ini sudah semestinya memerlukan satu kombinasi ungkapan pepatah-petitih perbilangan ada yang berbunyi adat yang sebenar adat, adat yang teradat, adat yang diadatkan dan adat istiadat. Pepatah-petitih perbilangan adat ini telah menjadi pegangan, peraturan ataupun undang-undang masyarakat Melayu turun-temurun.

Pepatah-petitih perbilangan adat sebagaimana ungkapan adat yang sebenar adat, adat yang teradat, adat yang diadatkan dan adat-istiadat memperlihatkan bahawa tatacara kehidupan masyarakat Melayu sangat berpegang pada adat. Menurut Abdullah Sidek, Adat adalah meliputi seluruh aspek kehidupan yang merupakan pedoman hidup bagi anggota masyarakat. Pedoman hidup ini dituangkan dalam rangkaian peraturan, petunjuk, perumpamaan, pantun, gurindam, pepatah dan petitih dan dijadikan panduan hidup anggota-anggota masyarakat adat. Ini memperlihatkan adat meliputi seluruh aspek kehidupan masyarakat Melayu, maka tradisi komunikasi pula, berlandaskan susurgalur adat resam Melayu itu sendiri.

Asas kehidupan masyarakat Melayu sememangnya bertatacara. Bertertib dan beradab ketika berkomunikasi menjadi satu perkara lumrah kepada masyarakat Melayu. Justeru, masyarakat Melayu mempunyai komunikasi tradisi tersendiri yakni bertatacara, lemah-lembut, halus dan beradab. Tatacara komunikasi dalam masyarakat Melayu terbahagi dua jenis iaitu komunikasi lisan verbal dan komunikasi tanpa lisan nonverbal. Komunikasi lisan pula, terbahagi pada dua bahagian kecil iaitu pengucapan melalui suara vocalise dan melalui tulisan perkataan nonvocalise yang juga disebut sebagai mesej bahasa.

Komunikasi tanpa lisan adalah melalui alat-alat bunyian, isyarat-isyarat, simbol-simbol, benda-benda yang boleh dipegang atau tidak boleh dipegang material dan nonmaterial, sikap dan emosi seseorang dan lain-lain yang boleh melahirkan makna dan pengertian tertentu. Perhubungan melalui alat-alat seperti tabuh, kentong, gong, beduk, nobat, rebana dan lain-lain adalah ciri-ciri komunikasi tanpa lisan yang terdapat dalam komunikasi budaya Melayu tradisional. Proses komunikasi dalam tradisi Melayu banyak menampilkan keunikkan tersendiri yang barangkali terdapat dalam bangsa-bangsa lain di Malaysia.

|Komunikasi Dalam Adat Bersalin|
Dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional, banyak peraturan yang telah ditetapkan mengikut adat istiadat mereka. Peraturan adat tersebut perlu dipatuhi dan diikuti dalam proses kehidupan mereka. Proses kehidupan pertama manusia ialah kelahiran yakni detik sejarah seseorang bergelar manusia. Detik menunggu kelahiran seorang bayi sangat mencemaskan seisi keluarga lebih-lebih lagi wanita yang akan melahirkan anak itu. Justeru, dalam masyarakat Melayu, wanita yang akan menerima cahaya mata akan melalui pelbagai proses adat yang sudah menjadi amalan sejak zaman-berzaman lagi. 

Amalan adat ini adalah satu proses jasmani dan rohani yang perlu dilalui oleh wanita-wanita yang akan menempuh hari kelahiran anak mereka. Proses jasmani dan rohani yang perlu dilakukan oleh seseorang wanita sebelum atau sesudah bersalin dalam masyarakat Melayu ialah amalan adat seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat menanam uri, adat bercukur rambut bayi, Adat berendoi, dan adat dalam pantang. Kesemua adat-adat tersebut adalah tahap-tahap peraturan yang perlu dilalui oleh wanita Melayu yang akan bergelar seorang ibu. 

Di zaman silam, jika seseorang wanita Melayu yang akan melahirkan anak tidak melalui proses adat, dianggap melanggar adat istiadat menek moyang mereka. Ini bererti, seseorang wanita yang membelakangi adat dianggap sebagai mencelakan masyarakat dan keluarga. Ini boleh dikatikan seperti pepatah-petitih perbilangan adat biar mati anak, jangan mati adat. Ianya bermaksud, saluran adat adalah paling utama dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Jika diamati pepatah-petitih perbilangan adat itu menunjukkan satu kezaliman yakni rela anaknya mati daripada adat yang dipraktikkan mati. Rasionalnya, ialah untuk memelihara adat supaya tidak dipandang ringan ataupun melakukan sambil lewa ataupun meninggalkan dengan sewenang-wenangnya.

Proses menjalankan Adat Bersalin terdapat tatacara komunikasi tertentu yang digunakan oleh kedua pihak yakni wanita yang bakal melahirkan anak dengan bidan yang merawatnya. Bidan yang merawat bakal ibu atau wanita yang akan bersalin menggunakan tuturkata yang sangat halus. Seseorang bidan yang merawat bakal ibu yang akan bersalin akan berkomunikasi dengan menuturkan kata-kata yang difahami oleh mereka yang arif dengan bahasa berhias. Bahasa berhias adalah bahasa yang tidak secara terus-terang tetapi penuh dengan kiasan. Sebagai contoh bidan akan mengatakan “kamu jangan buat tak tentu, sebab nak sambut orang baru” yakni memberi pengertian bahasa bakal ibu akan menerima cahaya mata. Oleh itu, dalam setiap proses adat terdapat bahasa kiasan digunakan oleh masyarakat Melayu. Bahasa kiasan itu adalah seperti gurindam, pepatah-petith, seloka, jampi mentera dan lain-lain yang mana merupakan himpunan komunikasi budaya Melayu

Wanita yang sudah genap mengandung sembilan bulan adalah waktu berjaga-jaga, kerana saat menanti kelahiran hampir tiba. Waktu itu si suami akan kelihatan resah dan bimbang untuk menunggu isterinya bersalin. Apabila tiba tanda-tanda menerima kelahiran, si suami akan menjemput bidan yang telah ditempah. Ketika si suami menjemput bidan, pengucapan yang digunakan tidak boleh sebarangan. Dalam adat resam Melayu tradisional, bidan seharusnya dijemput mengikut tatacara tertentu. Pengucapan menjemput bidan mengikut cara Adat Perpatih di Rembau, “Saya kemari ini nak melepaskan beban saya kepada mak Bidan, sebab isteri saya dah nak membuang sarat”. Mengikut Adat Temenggung di Kuala Kangsar, “Teman kemari nak jemput Tok Bidan sambut orang baru, susah senangnya terserah kepada Tok Bidan ajelah”. Ini memperlihatkan bahawa Adat Temenggung dan Adat Perpatih mempraktikkan pengucapan yang hampir sama ketika menjemput bidan. Perbezaan yang ketara cuma, sebutan dialeknya sahaja.

Bidan yang telah ditempah tidak boleh sengaja menguzurkan diri ataupun tidak dapat hadir untuk menyambut kelahiran bayi. Jika bidang tersebut tidak dapat hadir kerana perkara yang tidak boleh dielakkan, maka terpaksalah dicari ganti dengan orang lain iaitu bidan terjun. Bidan terjun adalah istilah merujuk seseorang yang dijemput secara mendadak. Orang yang menjadi bidan terjun juga, sedikit sebanyak berpengalaman dalam kerja perbidanan. Keadaan segentir ini jarang sekali orang yang menjadi bidan terjun menolak permintaan orang yang mengharap pertolongannya. Pengucapan komunikasi yang sering digunakan untuk menjemput bidan terjun, “Maaflah banyak-banyak kerana terpaksa menjemput Kakak menjadi bidang terjun, sebab Aminah bt Abdullah (sekadar nama pilihan) dah ada aral yang melintang”. Jemputan sebegitu memberi pengertian bahawa orang yang dijemput terpaksa menerimanya tanpa berdolak-dalik.

Dalam kaedaan terdesak itu, bidan terjun terpaksa menjalankan kewajiban dan tanggungjawab atas dasar peri kemanusiaan. Bidan terjun jarang menolak permintaan orang yang memerlukan perkhidmatannya. Tambahan pula, untuk menyelamatkan nyawa wanita yang bersalin dan bayi yang akan dilahirkan. Selain itu, orang yang menjadi bidan terjun sepatutnya tidaklah harus berkecil hati kerana ia menjadi pilihan kedua; ibarat kata pepatah “Tiada rotan akarpun berguna juga” . Ini bermakna bidan terjun itu adalah pilihan kedua dan masih tetap diakui kepakarannya oleh masyarakat Melayu.

Sesungguhnya, jika bidan yang ditempah gagal melaksanakan tugas seperti yang dijanjikan, ini dianggap sesuatu yang tidak baik ataupun boleh mengaibkan dirinya. Dalam masyarakat Melayu, setiap perjanjian melalui jemputan sirih pinang bagi tujuan tertentu adalah satu ikrar yang perlu dipatuhi dan dikotakan. Sirih pinang adat itu adalah komunikasi bukan lisan mempunyai pengertian sangat bermakna kepada kedua belah pihak supaya patuh dan tidak mengingkarinya.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bidan terjun yang dijemput tidak akan bekerjasama, cuma tatacara jemputannya sahaja menyalahi prinsip perbidanan Melayu tradisional. Prinsip perbidanan Melayu tradisional, adalah perjanjian dengan perantaraan sirih pinang dan sepakat dengan pengucapan yang dilafazkan oleh kedua belah pihak. Kedua belah pihak pula seharusnya akur dengan perjanjian yang dibuat. Jika mengikut pepatah Melayu “Kerbau dipegang pada tali, orang dipegang pada janji”. Ini sebagai menggambarkan betapa perjanjian itu amat serius dilaksanakan. Perbuatan mungkir janji adalah satu perkara yang dipandang hina dan tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat.

Oleh itu, bidan yang bertanggungjawab, sememangnya tidak sekali-kali menghampakan orang yang memerlukan perkhidmatannya. Tambahan pula, tempahan telah dibuat lebih awal lagi. Ini merujuk bahawa masyarakat Melayu sejak zaman berzaman hidup bertolak-ansur dan agama Islam menjadi pegangan mereka. Sudah tentu sesuatu perkara yang terjadi dikaitkan dengan kehendak Allah dan takdirnya, tetapi itu bukanlah satu alasan untuk menutup kelemahan yang seseorang lakukan dengan sengaja.

Walau bagaimanapun, seseorang bidan yang disegani dalam sesebuah kampung, tidak akan mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh masyarakat. Tugas menyambut bayi dalam Adat Bersalin sudah menjadi profesionnya, mereka menunjukkan sikap bertanggungjawab dan dengan rela hati memberi perkhidmatan. Begitu juga berlaku di Kuala Kangsar dan Rembau, masyarakat di situ amat patuh pada janji iaitu ketika menempah bidan tidak boleh sengaja mengaral atau membatalkan sewenang-wenangnya. Perbuatan begitu akan menyebabkan ilmu perbidanannya hilang masin. Istilah hilang masin merujuk pada ilmu perbidanannya akan pudar dan tidak mujarab lagi.

Tugas seorang bidan amat berat ketika proses menyambut kelahiran bayi. Ketika proses Adat Bersalin berlangsung, biasanya bidan akan dibantu oleh dua ataupun tiga orang wanita lain. Wanita-wanita itu selian membantu bidan, mereka juga bertindak menenangkan si ibu berdepan dengan detik-detik kelahiran bayinya. Wanita-wanita itu akan berkomunikasi dengan si ibu yang dalam kesakitan dengan pengucapan manis seperti memujuk dan sebagainya. Selain itu, memberi dorongan, semangat dan berzikir untuk mengingati kebesaran Allah s.w.t sepanjang masa. Pengucapan komunikasi yang sering digunakan ketika si ibu dalam kesakitan dan cemas, “Mengucap banyak-banyak, ingat pada Tuhan. Beranak ni sakitnya sekejap aje, ikut sunnah Rasul, besar pahalanya”. Pengucapan tersebut adalah cara berkomunikasi yang dapat memberi keyakinan dan semangat kepada wanita yang menghadapi tekanan dan kesakitan untuk bersalin.

Ketika bayi keluar daripada rahim ibunya, bidan mengusahakan supaya bayi itu mengeluarkan suara iaitu menangis sekuat-kuatnya. Tangisan pertama setelah bayi itu keluar daripada rahim ibunya merupakan komunikasi lisan di antara si anak dengan si ibu. Si ibu gembira mendengar tangisan anaknya walaupun ketika itu dalam kesakitan dan lemah tenaganya. Masyarakat Melayu di Rembau, menyambut bayi dengan sehelai daun sirih, bertujuan untuk menghalang syaitan dan iblis mengganggu bayi itu. Mengikut ilmu perbidanan daun sirih itu adalah satu sumpahan kepada syaitan dan iblis yang mana ia boleh mengganggu manusia. Daun-daun sirih adalah lambang-lambang ketakutan syaitan dan iblis. Selain itu, daun sirih adalah lambang pengubatan dan bukan daun untuk dibuat sayuran.

Setelah selesai si ibu melahirkan, pusat bayi dipotong dan dimandikan mengikut tertib perbidanan. Ketika bayi itu dimandikan, bidan sepanjang masa melafazkan selawat Nabi sehingga selesai tugasnya. Selawat Nabi diperdengarkan kepada bayi bertujuan apabila bayi itu dewasa, ia akan menjadi orang alim dan menjauhi dirinya daripada perbuatan yang dilarang oleh agama Islam. Setelah bayi itu dimandikan, bidan menyerahkan bayi kepada si bapa untuk diazankan. Mengazan ataupun mengkamatkan bayi yang baru dilahirkan, adalah komunikasi awal sebagai pengenalan terhadap kalimah-kalimah Allah s.w.t untuk diperdengarkan kepadanya.

Apabila selesai bayi itu telah diazan ataupun dikamatkan, manisan lebah dititiskan ataupun diberi sedikit kurma sebagai adat membelah mulut. Mengikut kepercayaan masyarakat Melayu, tujuan manisan dan kurma diberikan kepada bayi itu supaya apabila dewasa ia akan bercakap perkara yang benar dan menjadi anak yang soleh dan baik budi pekertinya. Dalam kehidupan masyarakat Melayu, nilai budi pekerti yang tinggi adalah perkara yang paling diutamakan dalam mencorakkan peribadi seseorang. Justeru itu, masyarakat Melayu di Kuala Kangsar dan Rembau, mengamalkan komunikasi budaya yang ada persamaan dalam Adat Bersalin.

|Komunikasi Adat Berkhatan|
Sebelum adat berkhatan dijalankan kebiasaannya si bapa terlebih dahulu bertemu dengan Mudin untuk membuat tempahan. Mengikut amalan masyarakat Melayu, ketika tempahan dibuat, tepak sirih mesti disertakan sebagai adat pembuka kata sebagaimana dilakukan dalam adat menempah bidan. Walau bagaimanapun, setiap tempahan dimestikan dengan jemputan mulut iaitu komunikasi lisan diantara orang yang menempah dengan orang yang ditempah. Ketika tempahan di buat, ada tatacara komunikasi tertentu digunakan oleh kedua belah pihak. Orang yang menempah Mudin akan bertutur menggunakan bahasa kiasan yang merujuk pada suatu perkara. Bahasa kiasan ini adalah tatacara komunikasi lisan ketika menjemput Mudin.

Adat berkhatan seperti adat-adat yang lain memerlukan seseorang bersemuka ketika menjemput Mudin. Amalan komunikasi bersemuka telah menjadi tuntutan adat dalam masyarakat Melayu tradisional. Amalan adat ini boleh dikaitkan dengan pepatah-petitih seperti: “Adat sepanjang jalan, cupak sepanjang betung”.

Apabila jemputan telah dibuat dan dipersetujui oleh Mudin, ia akan kerumah orang yang menempahnya untuk memeriksa kanak-kanak itu. Mengikut adat di Kuala Kangsar, si bapa akan menyediakan terlebih dahulu sebilah pisau lipat kecil dan kain putih ketika Mudin datang memeriksa anaknya. Tujuan pemeriksaan ke atas kanak-kanak itu adalah untuk memastikan sama ada kanak-kanak itu boleh dikhatankan ataupun sebaliknya. Jika pisau lipat dan kain putih itu diambil oleh Mudin, itu menandakan bahawa kanak-kanak tersebut boleh dikhatankan. Ianya juga sebagai isyarat komunikasi tanpa lisan yang difahami oleh si bapa. Jika kanak-kanak itu tidak boleh dikhatankan, pisau lipat dan kain putih itu tidak disentuh oleh Mudin. Kemudian Mudin akan berkata : “Anu budak tu masih pucul rebung, kencing bercabang”. Maksudnya ialah kemaluan kanak-kanak itu masih kecil dan tidak boleh dikhatankan, yang merupakan bahasa komunikasi Mudin di Kuala Kangsar

Di Rembau, Mudin akan berkata : “Bonda budak ini buto laie” (Benda budak ini buta lagi), iaitu memberi pengertian bahawa kemaluan kanak-kanak itu tidak boleh dibuka sepenuhnya (selaputnya). Jika dikhatankan juga ia akan mengakibatkan kerosakkan saluran urat sarafnya. Setelah Mudin mengesahkan bahawa kanak-kanak itu tidak boleh dikhatankan ia akan menetapkan suatu tempoh yang agak sesuai. Ibubapa kanak-kanak itu selalunya akan akur dengan kehendak Mudin dan tidak tergopoh-gapah untuk melaksanakan adat berkhatan. Ini menunjukkan bahawa dalam adat berkhatan, tahap pertama adalah menjemput Mudin sebagai mendahului persiapan yang lain.

Proses adat berkhatan seperti upacara adat yang lain di mana seseorang berkhendakkan khidmat Mudin perlu menjengok-ziarah sebelum membuat jemputan menjengok-ziarah adalah satu perlakuan yang dipraktikan oleh masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman sebagaimana pepatah-petitih perbilangan adat “Di tingkat tangga, di tepik bendul”. Pepatah-petitih itu adalah tradisi komunikasi lisan yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu di Rembau, yang memberi pengertian bahawa syarat-syarat memanggil seseorang dalam sebarang pekerjaan yang membabitkan adat, seseorang itu hendaklah datang ataupun bertandang ke rumah orang yang hendak dijemput, tetapi tidak boleh menjemputnya semasa bertemu ditengah jalan ataupun di warong kopi. Ini jelas menunjukkan tatacara komunikasi dalam adat berkhatan berlandaskan kesopanan dan ketertiban yang tidak boleh dilakukan sambil lewa.

Mudin yang bertanggungjawab tidak mengabaikan pemintaan orang yang menjemputnya. Ini sebagai memperlihatkan masyarakat Melayu masih memegang kata dengan janji seperti kata pepatah Melayu “Kerbau pegang pada tali, manusia pegang pada janji” ataupun “urat yang berseluk, pucuk yang berempas”. Pepatah-petitih ini adalah bahasa kiasan masyarakat Melayu di Rembau yang mengamalkan Adat Perpatih. Pengucapan kata-kata itu adalah komunikasi lisan yang memberi pengertian bahawa seseorang itu mempunyai pertalian kekeluargaan, kaim (semenda-menyemenda), akan terasa malu jika tidak menepati janji dalam sesuatu pekerjaan. Oleh itu, mereka akan membantu dan tolong-menolong dalam segala hal yang membabitkan adat- istiadat.

Pepatah Melayu dan perbidalannya menjadi komunikasi lisan yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Ini bermakna dalam tradisi komunikasi jika tidak disertai pengucapan pepatah-petitih, seseorang itu dianggap kurang berilmu adat dan cetek pengalaman kehidupannya. Justeru, pepatah-petitih adalah tradisi komunikasi yang telah menjadi amalan masyarakat Melayu bagi tujuan melaksanakan sesuatu upacara dalam edaran hidup seseorang. 

|Komunikasi Adat Perkahwinan|
Adat Perkahwinan adalah satu proses kehidupan pertama yang mencorakkan sebuah keluarga kepada seseorang lelaki. Perkahwinan yang mengikut suasana dan peraturan adat adalah dengan perantaraan kedua ibubapa seseorang lelaki yang bermula dengan adat merisik sehinggalah selesai adat perkahwinan itu. Perkahwinan tanpa disertai oleh kedua orang tua adalah satu perbuatan yang melanggar adat dan tidak manis dipandang oleh masyarakat Melayu. Sama ada perkahwinan itu berlandaskan suka sama suka ataupun pilihan ibubapa, perkahwinan hendaklah mengikut peraturan dan adat resam Melayu. Dalam adat perkahwinan pepatah-petitih perbilangan adat banyak sekali digunakan bagi merujuk sesuatu perkara. Setiap perkara yang membabitkan adat dilakukan daripada mula sehinggalah ke akhirnya sebagaimana pepatah-petitih: “Berbilang dari esa, mengaji dari alif” dan “Air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut”.

Dalam adat perkahwinan, setiap upacara yang dijalankan mempunyai tatacara komunikasi tertentu ketika proses Adat Perkahwinan dijalankan. Seseorang yang ingin berkahwin iaitu bagi lelaki dan perempuan akan menjalani proses Perkahwinan pada empat tahap. Tahap pertama ialah Adat merisik, tahap kedua ialah adat meminang, tahap ketiga adalah adat pertunangan dan tahap keempat ialah adat Perkahwinan. Keempat-empat tahap dalam proses Adat Perkahwinan dijalankan mengikut adat resam Melayu tradisional dimana setiap upacara adat dijalankan mengikut tatacara komunikasi tertentu yakni menggunakan lambang-lambang, simbol, bahasa isyarat yang boleh memberi makna kepada seseorang mengikut amalan adat masing-masing.

Semasa tinjauan, masyarakat Melayu yang mengamalkan adat temenggung dam adat perpatih mempunyai cara tersendiri dalam melaksanakan proses Adat Perkahwinan. Namun, dalam hal-hal tertentu kedua-dua adat itu juga mempunyai persamaan kerana adat-adat tersebut berasal daripada adat serumpun iaitu daripada Negeri Minangkabau di Sumatera. Oleh itu, terdapat beberapa persamaan dalam masyarakat Melayu ini melaksanakan upacara Adat Perkahwinan. Namun, perbezaan yang nyata ialah dari segi dialek (loghat) pertuturannya yang mana pengamal Adat Temenggung mengikut loghat perak manakala pengamal Adat Pepatih ,mengikut loghat Negeri Sembilan. Oleh itu, kedua-dua adat ini boleh dikaitkan dengan Pepatah-Petitih perbilangan adat seperti: “Jalan dialih orang lalu, cupak dipepat orang menggalas”. Pepatah-Petitih perbilangan adat tersebut adalah sebagai komunikasi lisan yang memberi maksud bahawa adat istiadat ataupun kebudayaan asli sesuatu masyarakat atau sesuatu negeri berubah coraknya kerana diubah oleh orang asing yang baru datang ke negeri itu membawa adat mereka.

Namun, adat ataupun peraturan kehidupan yang mencorakkan nilai dan norma-norma masyarakat maish dipelihara dan dijaga sebagaimana ungkapan “Jalanraya titian batu”. Yang bermaksud adat ataupun peraturan daripada zaman dahulu masih tetap dipraktikkan sehingga kertas kerja ini dihasilkan tanpa ada perubahan selagi adat istiadat itu tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Ini menunjukkan Adat istiadat Perkahwinan merupakan adat yang sejak zaman berzaman diikuti dan dipakai sebagai khazanah budaya Melayu turun temurun “yang tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas,” ataupun “Adat yang bersisamping, syarak yang bertelanjang” yang memberi pengertian bahawa menyampaikan ajaran adat, seseorang itu hendaklah bertutur dengan bahasa kiasan, jika seseorang mengikut ajaran syarak hendaklah bertutur dengan berterus terang tanpa batasan.

Ini bermaksud, bahasa pertuturan dalam menjalankan upacara adat amat menitik beratkan bahasa kiasan yang menjadi sebagai komunikasi lisan yang bersopan dan bertertib. Ini bermakna dalam melaksanakan adat istiadat, seseorang itu tidak boleh membelakangi agama tetapi ianya seharus seiring dengan ajaran Islam sebagai panduan dunia dan akhirat. Amalan adat merupakan pegangan yang bercirikan pengucapan komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan yang memberi makna tertentu dan mempunyai fungsi tertentu yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu sebagaimana ungkapan “emas bukan saudara bukan, budi sedikit orang hargai” yang memberikan pengertian bahawa peraturan adat adalah satu hubungan yang erat diantara manusia dengan manusia lain, tetapi bukan kerana emas dan perak yang menjadi ukuran penilaian budi perkerti seseorang itu.

Oleh itu, jelas menunjukkan dalam Adat Perkahwinan yang dikaji dalam bab ini, setiap perlakuan dan perbuatan masyarakat Melayu bagi menjalankan upacara adat adalah berlandaskan dua jenis komunikasi iaitu komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Justeru, Adat Perkahwinan yang dijalankan oleh masyarakat Melayu oengamal kedua-dua adat iaitu Adat Temenggung dan Adat Pepatih menggunakan tatacara komunikasi tertentu iaitu dari permulaan proses Adat merisik sehinggalah selesai Adat Perkahwinan itu dijalankan.

|Komunikasi Adat Kematian|
Dalam masyarakat Melayu, jenazah seseorang yang meninggal dunia diselenggarakan sebaik mungkin. Ada tatacaranya, ada komunikasi budaya yang sering dipakai ketika pengurusan jenazah dilakukan. Dalam adat resam Melayu terdapat beberapa tertib adat istiadatnya yang mana tidak bercanggah dengan hukum-hakam agama ketika jenazah itu diselenggarakan. Adat istiadat yang dimaksudkan ialah pelaksanaan dan pengurusan jenazah itu sangat mengikut tertib tertentu. Sebagaimana pepatah-petitih perbilangan adat berbunyi, “Yang dahulu, didahulukan dan yang kemudian dikemudiankan” ataupun “ Berbilang dari esa, mengaji dari alif”. 

Pepatah-petitih perbilangan adat ini bermaksud setiap pekerjaan baik, yang membabitkan adat istiadat hendaklah dilakukan dengan peraturan iaitu daripada mula sehinggalah selesai tidak bercanggah di antara adat resam dengan ajaran agama Islam. Ini bermaksud, adat istiadat masyarakat Melayu mempunyai batas-batas tertentu untuk dilaksanakan tetapi berlandaskan hukum syarak dan tuntutan agama.

Justeru itu, adat resam yang mana terdapat komunikasi budayanya, adat istiadatnya dan ajaran agamanya tidak boleh dipisahkan. Ini sebagaimana yang termaktub dalam pepatah petitih perbilangan adat yang berbunyi, “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah”. Pepatah-petitih tersebut, memperlihatkan bahawa adat dan hukum syarak iaitu agama adalah bergandingan dan bertautan. Sesungguhnya, segala urusan membabitkan adat dalam masyarakat Melayu, semestinya merujuk peraturan yang digariskan mengikut adat dan hukum syarak.

Jika urusan jenazah mempunyai peraturan tertentu mengikut adat dan ajaran agama, begitu juga komunikasi budayanya terdapat tatacara pengucapan tertentu yang beradab dan bertertib. Justeru itu, adat kematian masyarakat Melayu menggunakan banyak bahasa kiasan yang menjadi komunikasi budayanya. Ini menunjukkan dalam adat kematian, adalah satu upacara terakhir dalam kehidupan seseorang yang wajib dihormati dan dimuliakan. Jenazah seseorang wajib diselenggarakan dengan sempurna mengikut adat dan ianya adalah fardu kifayah kepada umat Islam.

Dalam masyarakat Melayu, jika seseorang meninggal dunia, keluarga si mati akan memberitahu jiran tetangga jauh dan dekat, waris-waris dan sahabat-handai. Masyarakat Melayu menggunakan cara-cara tertentu memberitahu tentang kematian seseorang melalui cara komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan. Komunikasi lisan adalah cara pengucapan mulut, menggunakan telefon dan lain-lain. Cara komunikasi lisan terbahagi pada dua iaitu menggunakan suara (vocalize) dan tanpa suara (nonvocalize). 

Ini bermakna komunikasi lisan (vocalize) adalah menggunakan pengucapan bersemuka ataupun melalui telefon manakala komunikasi lisan cara (nonvocalize) menggunakan bahan-bahan bertulis mempunyai makna dan mesej bahasa seperti telegram dan lain-lain. Justeru itu, dalam adat kematian, masyarakat Melayu menggunakan komunikasi lisan dan komunikasi bukan lisan untuk memberitahu berita kematian dan juga bagi pengurusan jenazah si mati.

Sumber:      
Abdul Rahman Ahmad Hanafiah. 1993. Adat Resam Komunikasi Melayu Tradisional: Satu Pemikiran Semula. Dewan Budaya, Mei: 20-21.

Gambar: Komunikasi Melayu


FOLLOW and JOIN to Get Update!

Social Media Widget SM Widgets




Demo Blog NJW V2 Updated at: 2:46 AM

0 comments:

Post a Comment